FALSAFAH HAJI
Hikmah Haji : Lahir & Batin
Ibadah haji ialah kemuncak kepada rukun Islam. Ibadah haji ini,
Tuhan tentukan tempatnya secara khusus dan bukan boleh dibuat di
mana-mana. Bukan boleh dibuat di tempat mengikut sesuka hati kita.
Maksudnya, tidak boleh buat di mana-mana tempat seperti rukun Islam
yang lain iaitu sembahyang, puasa dan zakat. Sebab apa Tuhan buat
begitu? Sebab ia ada hikmah yang lahir dan yang batin.
Secara lahir, yang biasa orang perkatakan ialah ia lambang persatuan
umat Islam. Jadi kalau kita lihat hikmah lahir ini, iaitu di mana
dihimpunkan seluruh dunia di satu tempat seolah-olah itulah dia
lambang perpaduan umat Islam. Ini, semua golongan memperkatakan
tentangnya baik Syiah, Wahabi dan lain-lain. Bahkan di seluruh
dunia, orang menyebutnya di dalam khutbah yang hikmah haji adalah
persatuan umat Islam. Jadi atas dasar ilmu, sepakat orang mengatakan
bahawa haji ialah lambang persatuan. Tapi apa yang terjadi? Ia tidak
seperti yang disebut-sebut. Tak terjadi seperti yang diperkatakan
kerana apa yang berlaku ialah, jemaah haji ada yang tak sempat balik
sudah bergaduh, ada yang berebut-rebut, tolak-menolak dan ada yang
langkah-melangkah orang lain. Setengahnya itu bawa cerita, "ada
orang Arab waktu tawaf, dia langgar saya, saya pun bagi satu
(penumbuk)". Hikmah yang lahir belum boleh diwujudkan walaupun sibuk
orang memperkatakan tentangnya. Inikan pula hikmah yang batin,
lagilah susah hendak dilaksanakan.
Untuk hikmah haji yang batin pula, mari kita buat contoh, umpama
satu kerajaan di Malaysia. Ada Agung dan dia sedang berhadapan
dengan 20 juta rakyatnya. Rakyat ini disuruhlah bekerja, membangun
dan berbuat. Setelah masing-masing membangun dan berbuat, Agung ini
akan perhati rakyatnya. Oleh kerana Agung ini bukan Tuhan, dia tak
tahu banyak tentang rakyatnya, terpaksalah dia minta tolong pembantu-
pembantunya. Kemudian, dari hasil penilaiannya, maka dia panggillah
mereka ke istana. Bila dipanggil ke istana, masing-masing dapatlah
habuannya berupa darjah kebesaran. Ada yang dapat DK, ada yang dapat
DSSK, dan berbagai-bagai lagi.
Jadi, raja, kalau dia nak beri pingat kepada rakyatnya, dia buat di
tempat khusus. Dia tak buat kadang-kadang di masjid atau kadang-
kadang di hotel. Dia tak buat begitu tetapi dia akan buat di istana.
Bila merujuk pada Tuhan, begitulah Tuhan, raja segala raja. Masa
biasa, Tuhan suruh hambaNya berbuat. Seolah-olah Tuhan
berkata, "Awak sembahyang, awak puasa, Aku sedang memerhati".
Setelah masing-masing berbuat maka ada musim-musim, Dia panggillah
hambaNya tadi ke istana, di satu tempat yang tak beralih tempat.
Seolah-olah Kaabatullah itu istana Tuhan. Mereka ini dipanggil untuk
diberi pingat. Di situ ada yang dapat pingat Siddiqin, Solehin,
Muqarrabin dan Muttaqin. Ada juga yang dapat pahala syahid tanpa
perlu mati syahid. Kalau haji yang mabrur itu, macam-macam
kategorinya seperti yang disebut tadi. Sebab tu siapa yang dapat
haji mabrur itu seperti bayi yang baru lahir. Begitulah
perumpamaannya, sama seperti contoh raja yang memberi pingat di
istana. Inilah dia hikmah yang tersirat dan tak semua yang pergi
haji dapat. Ada juga yang tak dapat pingat. Tuhan seru dan panggil
datang ke istana Tuhan, tetapi bukan untuk diberi pingat. Dia sangka
dipanggil untuk diberi pingat tetapi rupanya dipanggil untuk
dimarahi. Dipanggil juga tetapi mendapat kemurkaan Tuhan. Apa yang
mereka dapat ialah fasiqin dan munafiqin.
Syarat Batin Haji
Apa yang terjadi sekarang, ialah orang-orang yang dipanggil untuk
dimarahi berada bersama-sama dengan orang yang dipanggil untuk dapat
pingat. Mengapa terjadi demikian, ada dua golongan, satu diberi
pingat dan satu dimarahi pula. Ini kerana kalau kita perkatakan
syarat-syarat haji, banyak orang yang hanya menekankan syarat-syarat
haji yang lahir sahaja. Selain daripada syarat lahir, sebenarnya ada
syarat yang kedua, iaitu yang batin. Tetapi yang ini tidak ramai
memperkatakannya, malah kalau orang tak faham, ia boleh jadi fitnah.
Kalau kita menekankan syarat-syarat yang lahir sahaja, maka bila
cukup syarat, wajiblah pergi haji. Apa syarat-syarat tersebut? Ada
duit, aman dalam perjalanan, tanggungan yang tinggal itu cukup
belanja, sihat tubuh badan, ada kenderaan dan ada mahram. Ramai yang
pergi berasaskan syarat lahir sahaja. Namun, tak ramai nak periksa
syarat batin. Mengapa tak periksa:
Sejauh mana kita kenal Tuhan melalui syahadah?
Sudahkah kita menghayati sembahyang? Kalaupun tak
boleh hayati, setidak-tidaknya faham.
Apa hikmah puasa? Apakah sekadar tak makan dan tak
minum?
Apa itu zakat? Kalau zakat sekadar nak keluarkan
duit, itu mudah. Tetapi roh dari zakat itu apa?
Sebenarnya, walaupun syarat lahir dah cukup tetapi kalau rukun Islam
yang 4 tak selesai, kena selesaikan yang itu dahulu. Apa erti syarat
lahir dah selesai, dah boleh pergi, sedangkan kita belum dapat
isinya. Sedangkan ibadah itu bukan soal luaran sahaja, tetapi ia
termasuk soal batiniah dan yang batiniah ini lebih besar dan lebih
penting lagi. Selama ini syarat batiniah jarang diperkatakan.
Memanglah kalau ikut syarat lahir, sudah wajib pergi. Tetapi bila
diperiksa satu persatu; contoh, kalau Tuhan tak kenal, apakah
diterima haji? Sebab itulah hari ini, orang pergi haji banyak kali
pun, tak boleh ubah perangai. Orang yang hanya menekankan syarat
lahir sahaja, dia datang kepada Tuhan untuk dimarahi. Tetapi yang
menekankan kedua-duanya, lahir dan batin, itulah yang datang untuk
menerima pingat, bintang kebesaran dari Tuhan.
Kesimpulannya, orang pergi haji, bukan soal haji sahaja difokuskan,
tetapi sebenarnya dia sudah dicanai oleh 4 rukun tadi, iaitu
syahadah, sembahyang, puasa dan zakat. Haji ini adalah kemuncaknya.
Bila ini terjadi, patut-patutnya balik haji sudah boleh berubah
perangai. Sudah bertambah mahmudah, menjadi orang yang bertambah
tawadhuk, pemurah dan berkasih sayang. Jadi, yang boleh sampai
perangai berubah kembali daripada haji itu bukanlah disebabkan pergi
ke Mekah terus berubah. Tetapi ia adalah kesan daripada ibadah yang
awal sebelum ke Mekah tadi. Iaitu syahadah, sembahyang, puasa dan
zakat. Haji itu hanya jadi penguncinya sahaja. Ia jadi pelengkap.
Ibadah Haji Mesti Ada Roh
Sudah kita perkatakan tentang 4 rukun yang perlu diselesaikan
terlebih dahulu, sekarang kita tumpu pula tentang ibadah haji.
Ibadah haji bukan fizikal semata-mata. Ia bukan sekadar perbuatan
seperti tawaf dan ihram. Juga bukan sekadar ucapan Labbaika
Allahumma labaikYang lebih besar dalam ibadah haji adalah
penghayatan. Itulah roh dalam ibadah. Iaitu rasa-rasa bertuhan dan
rasa-rasa kehambaan. Rasa bertuhan ialah seperti rasa Tuhan
memiliki, rasa betapa hebat dan agungNya Tuhan, rasa Dia berkuasa,
Dia memerhati dan mendengar, dan rasa Dia sentiasa berperanan dalam
hidup kita. Rasa kehambaan pula ialah seperti rasa lemah dengan
Tuhan, rasa hina, rasa rendah diri, rasa berdosa dan rasa berharap
kepada Tuhan. Bacaan atau wirid zikir dalam haji hanyalah untuk
membantu atau mendorong hati untuk merasa-rasa dengan Tuhan. Kalau
sekadar lafaz, tapi hati tak merasa, ibadah haji sekadar berbentuk
lahir. Ibadah kalau sekadar lahir sahaja, tak dipandang Tuhan.
Maknanya, jauh sekali dari hendak diterima Tuhan.
Sama juga dengan perbuatan haji, baik tawaf, saie atau ihram. Ia
perlu diiringi dengan rasa bertuhan dan rasa kehambaan. Rasa-rasa
seperti ini sahaja yang dapat bangunkan jiwa seterusnya membentuk
peribadi mulia. Kalau ini terjadi, orang yang pergi haji, nescaya
akan berubah menjadi lebih baik daripada sebelum haji. Mereka akan
mendapat berbagai-bagai hikmah haji seperti rohaniah bersih,
mahmudah tinggi, cinta dunia hilang, cintakan Allah berbunga dan
terjalin kasih sayang sesama manusia. Inilah dia haji mabrur.
Natijah dari haji mabrur, ia boleh membawa kasih sayang dan
perpaduan umat.
Sekian.
Sumber ilmu : Ybhg Abuya Imam Ashaari Muhammad
[KEMBALI]