Menuntut Hak Dan Keadilan

Dalam Islam, setiap manusia itu diberi berbagai-bagai hak. Suami ada hak ke atas isteri. Isteri ada hak ke atas suami. Anak ada hak ke atas bapa. Pemimpin ada hak ke atas pengikut. Pengikut ada hak ke atas pemimpin. Majikan ada hak ke atas pekerja. Pekerja ada hak ke atas majikan dan begitulah seterusnya. Maka hiduplah manusia berpandukan kepada hak mereka masing-masing.

Apabila ada hak-hak ini tidak dijelas atau diselesaikan, maka manusia akan menuntut hak mereka masing-masing. Mereka lakukan ini demi untuk mendapatkan keadilan.

Masyarakat pula seolah-olah menggalakkan perkara ini berlaku. Kalau ada pihak yang menuntut hak mereka, maka masyarakat akan memberikan sepenuh galakan dan sokongan. Masyarakat berpendapat bahwa hak seseorang itu mesti dijelaskan. Kalau tidak, tidak akan wujud keadilan.

Para peguam pula memanghidup di atas fenomena menuntut hak ini. Kalau ada pihak yang haknya dicabuli, mereka akan memperjuangkannya di mahkamah lengkap dengan tuntutan ganti rugi, tuntutan kos, faedah dan bermacam-macam jenis tuntutan lagi. Kalau subur sikap menuntut hak ini, maka akan ramai peguam yang jadi kaya.

Maka lahirlah masyarakat yang sangat berpegang kepada hak dan sangat menuntut hak. Hilanglah satu nikmat yang lebih besar dan bermakna yang telah Tuhan sediakan untuk kita kerana sikap kita yang sangat suka menuntut hak ini.

Menuntut hak itu harus sahaja hukumnya. Menuntut hak itu tidak ada pahala. Orang yang menuntut hak itu, dapat atau tidak dapat haknya, Tuhan tidak pandang. Tetapi orang tidak menuntut haknya, lebih-lebih lagi orang yang rela pula haknya diberikan kepada orang lain, Tuhan sangat ambil kira. Tuhan akan ganti haknya yang hilang itu dengan pahala kasih sayang-Nya. Mengorbankan hak untuk orang lain itu ialah ibadah.

Kalau kita lihat secara mendalam dan terperinci, ibadah itu tidak lain dan tidak bukan adalah mengorbankan hak kita untuk dan kerana Tuhan. Itu sebabnya Tuhan bagi pahala. Pahala itu kerana kita mengorbankan hak kita. Ia sebagai ganti hak yang telah kita korbankan itu. Lagi banyak hak yang kita korbankan, lagi banyak pahala yang akan Tuhan bagi.

Dalam solat contohnya, ada hak yang kita korbankan. Kita korbankan masa, tenaga dan kerehatan kita. Kita korbankan banyak perkara yang hendak kita buat dan tempat yang kita hendak pergi kerana hendak menunaikan solat. Dalam berpuasa kita korbankan hak kita untuk makan dan minum dan bersedap-sedap dengan isteri di siang hari yang hukum biasanya adalah harus.

Dalam ibadah zakat, kita korbankan harta dan wang ringgit yang menjadi hak kita. Semasa menunaikan haji pula, kita bersusah-payah kerana Tuhan. Kita korbankan wang ringgit, kita tinggalkan kampung halaman, kita bersafar, kita tanggung penat dan lelah, lapar dan dahaga, berpanas dan bersejuk dan kita korbankan kerehatan dan keselesaan kita. Pendeknya, tidak ada ibadah yang kita tidak korbankan hak kita. Ibadah itu pada hakikatnya ialah mengorbankan hak untuk Tuhan.

Apa akan jadi pada bangsa yang sangat mementingkan dan sangat menuntut hak ini. Tidak langsung mahu mengorbankan haknya untuk orang lain dan sangat berkira. Bangsa seperti ini akan menjadi bangsa yang sangat berat untuk beribadah dan membuat kebajikan. Bangsa seperti ini hanya menumpukan kepada keuntungan peribadinya sahaja. Hidup bermasyarakat akan punah ranah kerana tebalnya sikap nafsi-nafsi. Tidak akan wujud ihsan, kasih sayang, bantu membantu dan bela membela sesama manusia.

Suka menuntut hak dan keadilan ini, kalau didorong oleh rasa tamak, penting diri dan tidak mahu bertolak ansur adalah sifat mazmummah. Tuhan mahu kita bertimbang rasa, bertasamuh (tidak terlalu berkira), berlapang dada dan bertolak ansur. Tuntut hak bukannya wajib. Hanya harus sahaja hukumnya. Melepaskan hak kita untuk orang lain ada pahala dan dianggap ibadah. Mana lebih baik? Buat yang harus atau membuat ibadah yang ada pahalanya? Kenapa kita hendak sangat menuntut hak? Kenapa kita gila sangat kepada perkara yang harus sahaja hukumya hingga kita bergaduh, berkrisis dan bermasam muka sesama manusia.

Menuntut hak atau keadilan itu, walaupun pada pandangan umum, ianya tidak salah, tetapi kalau dilakukan secara sembrono dan gopoh-gapah, akan menimbulkan ketegangan dan huru-hara dan juga ketidak-adilan yang lebih besar dan lebih berat lagi.

Seperti orang meminum arak di tempat yang tersembunyi. Ada pula orang lain yang nampak dia. Maka orang yang nampak itu lalu memaki hamunnya, menghinanya dan mencanang satu kampung bahwa si polan itu meminum arak, kaki botol, pemabuk dan alkoholik. Dosa dan salah meminum arak itu sudah kecil berbanding dosa memaki hamun, menghina dan memalukan orang di khalayak ramai.

Sikap tidak menuntut hak ini perlu diamalkan di mana-mana. Sifat tasamuh dan berlapang dada ini perlu disuburkan. Baik di pejabat, di tempat kerja, dalam hidup sekampung, dalam hidup setaman, dalam perniagaan, dalam hidup berumahtangga, lebih-lebih lagi dalam hidup berpoligami dan bermadu.

Kalau kita terlalu menuntut hak dan keadilan, kita akan dapati sukar untuk berkhidmat dan berbuat baik kepada orang lain kerana dalam berbuat baik itu kita kena korbankan hak kita.

Walhal Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Yang paling baik dikalangan kamu ialah kamu yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain.”

Isteri yang bermadu yang solehah dan bertaqwa mesti rela mengorbankan haknya, demi kemudahan dan kesenangan suaminya. Semua itu ada pahala dan kasih sayang Tuhan. Ini termasuklah dalam soal belanja dan giliran. Kadang-kadang kita lihat, ada isteri, kalau dengan kawan, saudara mara, adik-beradik, ibu dan ayah sendiri, sangat bertolak ansur. Tetapi bila dengan suami, sangat berkira dan sangat menuntut hak. Itu tanda dia ingin dipuji dan dipandang baik oleh orang. Sekiranya dia ingin baik di sisi Tuhan, suaminyalah sepatutnya orang pertama yang dia bantu dan bertolak ansur dan berlapang dada, dia sebenarnya tidak adil kerana membelakangkan tuntutan agama itu tidak adil hukumnya. Kadang-kadang kita tuntut hak kita kerana hendakkan keadilan. Tetapi bila tidak sabar, tidak redha dan tidak mahu bertolak ansur, itu pun tidak adil juga namanya.

Sebenarnya untuk menjalinkan hubungan yang baik sesama manusia lebih-lebih lagi di antara suami isteri, kita perlu menjadi orang yang “super adil”. Apakah itu “super adil”? iaitu orang yang lebih adil daripada adil. Orang yang rela mengorbankan dan memberikan haknya kepada orang lain dan mengalah demi untuk mencapai suasana yang baik dan mencetuskan rasa kasih sayang.

Macam kita sedang memandu kereta. Tiba-tiba pemandu dari arah yang bertentangan makan jalan kita. Janganlah kita terus tuntut hak kita dan tidak mahu berganjak. Lebih-lebih lagi, janganlah kita makan jalan dia pula. Tentulah akan berlaku perlanggaran dan kemalangan yang serius. Boleh jadi kita akan cedera dan dia pun akan cedera. Baik tak baik, kita boleh mati dan dia pun boleh mati. Kalau begitu, buat apa kita tuntut hak kita kalau akibatnya kita dua-dua akan mati.

Lebih baik kita jadi super adil dan kita beralah. Kita masuk ke kiri ke dalam kawasan rumput. Beri laluan pada dia. Dengan itu, kedua-dua kita akan selamat. Seperti kata-kata orang Inggeris: “Its okay to be right. But there is no point in being dead right.” Inilah dia super adil

Mana kita tahu apa sebab dia makan jalan kita. Mungkin dia tidak mahu tapi dia tidak dapat elak. Mungkin dia terpaksa elak lubang atau elak kucing. Mungkin sebab tayarnya hilang angin dan keretanya berat sebelah kita. Mungkin steeringnya jam dan tidak boleh dipusing. Mungkin dia mengantuk dan tidak sedar. Dia pun manusia macam kita juga. Tentu ada salah dan silap. Maka adillah kalau kita elak dia dan beri dia laluan.

[KEMBALI]