Sidang Akhbar :
Penjelasan Tentang Islam Hadhari Menurut Ustaz Ashaari Muhammad

Penjelasan Tentang Islam Hadhari Menurut Ustaz Ashaari Muhammad
Oleh: Khatijah Aam

Malaysia kini adalah negara Islam Hadhari. Perdana
Menteri mengambil dasar ini adalah bertujuan
menyempurnakan pembangunan material yang hebat di
Malaysia dengan pembangunan insaniah yang gemilang,
cemerlang dan terbilang. Ringkasnya negara Islam
Hadhari adalah negara yang menggabungkan pembangunan
insan dan material di dalam pemerintahannya.

Menyedari bahawa kerja besar ini tidak mungkin
dijayakan sendirian, PM telah menyeru segenap lapisan
masyarakat untuk ikut sama menyumbang ke arah
menjayakan program ini.

Maka Rufaqa’ Corporation melalui Pengerusi
Eksekutifnya Ustaz Ashaari Muhammad, mengambil langkah
untuk menyahut seruan itu. Ustaz Ashaari Muhammad
(yang tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan) yang
menjalani ISA selama 10 tahun, kerana selama ini tidak
menemukan titik temu antara perjuangannya dengan
kerajaan. Namun dengan takdir Tuhan hasrat untuk
melihat negara Islam tercapai oleh kerajaan Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi. Islam Hadhari adalah harapan
dan cita-cita beliau. Maka pada hari dibebaskan, 25
Oktober 2004, beliau berikrar untuk bekerjasama dengan
kerajaan, untuk ikut mengisi program-program Islam
Hadhari. Ini bukan bermakna beliau sudah masuk UMNO.
Cuma bekerjasama dengan kerajaan UMNO atau Barisan
Nasional, sedangkan beliau tetaplah dengan Rufaqa’,
untuk menjadi Ahli Korporat yang berjaya, seperti yang
dikehendaki Islam Hadhari. Rufaqa’ Corporation sedang
mengemas diri untuk menyenaraikan nama di Bursa Saham,
dengan mempunyai 450 premis perniagaan di beberapa
negara di dunia

Dasar yang dipakai untuk membina kemajuan ini adalah
Islam Hadhari. Berdasarkan pengalaman perjuangan 7
tahun dalam ISA membangunkan syarikat ini, beliau
menuliskan buku Islam Hadhari. Pemikiran dan mindanya
ini disusun oleh salah seorang Ahli Lembaga Pengarah
syarikat iaitu Mejar (B) Abu Dzar, dikeranakan beliau
itu mengeluarkan idea-ideanya dalam bentuk sajak dan
motivasi kepada kakitangan Rufaqa’.

Sama seperti apa yang ditulis oleh Dr. Mohd Said
Ramadhan Al Buti, disunting oleh Yang Berbahagia Tan
Sri Abd. Hamid Othman terjemahan Mohd. Ramzi Bin Omar
di dalam buku bertajuk Islam Hadhari Dalam
Pembangunan Insan (Asas Kepada Perlaksanaan Islam
Hadhari Di Malaysia), Ustaz Ashaari juga di dalam
bukunya, Islam Hadhari ini, menjadikan dasar
pembangunannya ialah Al Quran.

Dengan menafikan pembangunan tamadun barat yang
semata-mata bermodalkan akal dan material, Al Quran
telah menetapkan rasa takut kepada Tuhan Allah sebagai
asas dan modalnya. Yakni bilamana seseorang begitu
dekat dengan Tuhannya hingga tumbuh rasa cinta dan
takut kepada-Nya, maka Tuhan akan menolong dengan
kuasa-Nya sampai terbangunlah pembangunan material
yang diusahakan itu. Firman-Nya,

“Dan Allah, pembela kepada orang-orang yang bertaqwa.”

Pembangunan material ala Barat tanpa menyertakan Tuhan
sebagai modal, sesungguhnya bukanlah satu kemuliaan.
Saya petik dari buku Said Ramadhan itu, yang mendapat
perutusan khas oleh PM dan kata-kata aluan oleh TPM,
di muka surat 175 perenggan 2, 3 dan 4:
‘Tujuan kami membentangkan teks-teks tersebut supaya
pembaca dapat penjelasan yang jelas untuk membezakan
antara kuasa dan memuliakan martabat. Harus diingat
bahawa ketinggian Barat dengan tamadun dan kekuatan
yang ada padanya ke atas umat Islam, sama seperti
tingginya tongkat di atas belakang orang yang akan
disebat oleh tukang sebat orang yang akan diseksa. Ia
sama sekali bukannya ketinggian yang menunjukkan
kehormatan dan kemuliaan. Ini bererti sangkaan orang
bahawa tamadun Barat adalah gemilang pada hakikatnya
sebagai pemantulan kepada kemunduran tamadun Islam.
Justeru, penyelewengan umat Islam dari sudut akhlak
dan sosial sampai ke darjat yang amat rendah itulah
yang menyebabkan mereka menyangka tamadun Barat adalah
kukuh di mercunya.

Umat Islam hendaklah membebaskan diri daripada
kebodohan tentang hakikat diri mereka dan
merealisasikan pengertian sebenar kehidupan tentang
perhambaan kepada Allah, kemudian berinteraksi dengan
kehidupan dan dunia ini mengikut manhaj yang
digariskan oleh Allah dalam kitab-Nya kerana
mengharapkan ganjaran Allah dan takutkan azab
seksa-Nya. Jika mereka berjaya melakukan demikian maka
tatkala itu barulah mereka dapat melihat hakikat
sebenar tamadun Barat, penguasaan Barat akan terlepas
daripada mereka, dan mereka berjaya membebaskan diri
daripada terikat di bawah landasan orbit dan graviti
Barat.”

Penutupnya beliau menyebut pada muka surat 201:
“Kembalilah semula mengkaji metode Al Quran, bagaimana
hendak membangunkan tamadun manusia terunggul.”

Bersetuju sungguh dengan dasar inilah maka Ustaz
Ashaari menawarkan langkah-langkah praktikal untuk
bagaimana mencipta sebuah masyarakat yang baik dan
membangun, melalui buku ini. Tidak hanya baik tapi
tidak membangun dan tidak hanya membangun tapi jahat.

Alhamdulillah setakat ini kerajaan menerima baik
sumbangan kami. Kementerian-kementerian yang diarahkan
untuk menukar dasar kepada ‘Budi Pekerti Budaya
Bangsa’, telah bersedia bekerjasama dengan kami untuk
mengisi program-program yang dianjurkan. Wakil-wakil
rakyat dan kerajaan negeri begitu positif menyahut
hasrat Rufaqa’ untuk ikut menyumbang membangunkan
Islam Hadhari.

PM dalam ucapannya telah berkata, “Kita terima semua
idea-idea kreatif. Tiada protokol pada idea.”
Katanya
lagi, dalam akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini,
“Kita tidak mahu hanya ada bangunan kembar KLCC, tapi
kita mahu ia bersama keperibadian yang agung."


Moga-moga buku ini diterima baik oleh semua untuk kita
sama-sama melakukan bina insan di atas pembangunan
pesat yang sudah dibuat oleh kerajaan Malaysia.

Sekian



[KEMBALI]