Kerajaan Bumi – Kerajaan Langit

Seseorang raja itu, dia berkuasa dia memerintah dan mentadbir sesebuah negara. Jentera pemerintahannya dan pentadbirannya dinamakan ke-raja-an. Di zaman tidakada raja atau raja telah hilang kuasanya jentera pemerintahan dan pentadbiran tetap dinamakan kerajaan.

Bila disebut kerajaan, maka ada berbagai jenis kerajaaan. Ada kerajaan langit dan ada kerajaan bumi.

Kerajaan langit ialah kerajaan Tuhan. Segala-galanya di langit di tadbir dan di perintah mengikut sunnah dan hukum-hakam Tuhan. Tidak ada penyelewengan, tidak ada percanggahan sistem dan tidak ada yang tidak taat. Justeru itu, kehidupan di langit aman damai dan tenang. Tidak ada peperangan. Semua berjalan dengan licin, lancar dan teratur sepertimana yang dikehendaki.

Bumi juga satu ketika dahulu, termasuk di bawah pemerintahan kerajaan langit. Semuanya di bumi berjalan dengan baik. Semua makhluk di bumi ketika itu taat dan patuh kepada Tuhan.

Tetapi Tuhan ada jadual dan perancangan-Nya. Diciptakan-Nya manusia supaya menjadi khalifah-Nya di muka bumi. Dihantarnya manusia ke bumi dan diserahkan bumi ini untuk ditadbir oleh manusia bagi pihak Diri-Nya. Disediakan hukum-hakam dan peraturan untuk mansia ikuti supaya pentadbiran manusia tidak lari dari apa yang Tuhan mahu. Maka wujudlah kerajaan bumi yang dikendalikan oleh manusia sebagai tambahan kepada kerajaan langit.

Namun, tidak semua perkara di bumi diserahkan kepada manusia untuk ditadbirkan kerana manusia tidak mampu. Manusia hanya perlu mentadbir hal urusan mereka sendiri dan khazanah bumi sahaja. Soal hujan, air, angin, cuaca, iklim, putaran bumi, cahaya matahari, air pasang surut, siang dan malam dan sebagainya tetap di bawah pentadbiran kerajaan langit.

Di zaman bumi ini ditadbir dan diperintah oleh orang-orang Tuhan seperti para Rasul dan para mujadid, semua hukum-hakam, peraturan dan sunnah Allah berjalan dengan lancar di muka bumi.

Tetapi di zaman-zaman yang lain, di kala bumi diperintah oleh manusia-manusia yang tidak beriman dan yang melawan dan menentang Tuhan, mereka tolak hukum-hakam, peraturan Tuhan. Mereka tidak yakin dan tidak percaya dengan peraturan dan sistem Tuhan. Mereka cipta peraturan dan sistem mereka sendiri. Asalnya mereka dihantar ke bumi sebagai hamba dan khalifah Tuhan. Tetapi mereka memberontak. Mereka tidak rela menjadi hamba. Mereka mahu menjadi tuan dan mahu mentadbir bumi ini ikut selera mereka sendiri. Mereka lupa bumi ini Tuhan punya. Mereka lupa mereka hanya wakil Tuhan. Mereka mahu mengenepikan Tuhan dan mahu mengambil-alih bumi ini menjadi hak mereka dan mentadbirkannya ikut cara mereka.

Ini satu rampasan kuasa yang sangat besar dan sangat ketara. Ini satu coup-de-tat yang tidak ada tolok bandingnya. Ini bukan satu rampasan kusa di antara sesama manusia. Ini macam hendak merampas kuasa Tuhan atau setidak-tidaknya hendak melepaskan diri dari kuasa Tuhan.

Sunnah Allah dan hukum-hakam Tuhan ada dua bentuk. Satu bentuk yang manusia menerimanya secara terpaksa (karhan). Satu lagi ialah bentuk yang manusia menerimanya secara sukarela. Ertinya manusia ada kuasa membuat pilihan (tau’an).

Sunnatullah atau hukum hakam bentuk yang pertama (karhan) adalah seperti bernafas dengan udara. Bernafas pula melalui hidung, bukan melalui mata atau telinga. Dahaga hilang dengan meminum air. Lapar hilang dengan memakan makanan. Berjalan mesti menggunakan kaki, bukan tangan atau bergolek-golek dan seterusnya. Sunnahtullah bentuk ini mudah. Semua manusia akan menerima dan taat dengan sunnatullah seperti ini. Kalau tidak taat, manusia akan binasa di dunia lagi secara serta merta.

Sunnahtullah atau hukum hakam bentuk yang kedua (tau’an) adalah seperti meminum dan memakan makanan yang halal. Bernikah dan jangan berzina. Kalau mahu kaya kena kerja atau berniaga. Jangan merompak, mencuri, menipu atau memakan rasuah. Kena beriman dengan Allah. Kena bersolat, berpuasa, berzakat dan sebagainya. Sunnatullah bentuk ini susah. Manusia boleh memilih untuk taat atau derhaka. Kalau taat, manusia akan selamat. Kalau derhaka, manusia akan binasa. Hanya bezanya, kebinasaan itu tertangguh. Kebinasaan itu dilewatkan. Kalau tidak dipenghujung kehidupan di dunia, dia tetap akan berlaku di Akhirat nanti.

Termasuk juga didalam hukum hakam bentuk yang kedua ialah segala sistem dan peraturan hidup yang telah ditetapkan oleh Tuhan dalam Islam seperti ekonomi, sistem kewangan, sistem masyarakat,sistem kebudayaan, sistem pendidikan, sistem kerajaan dan pentadbiran, sistem perundangan dan hukuman seperti hukum hudud dan berbagai-bagai lagi sistem hidup di semua peringkat dari rumah tangga, kampung hingga ke peringkat negara.

Sistem-sistem inilah yang manusia tidak suka ikuti. Mereka lebih suka mencipta sistem-sistem baru ciptaan akal mereka untuk mengantikan sistem-sistem yang telah ditetapkan oleh Tuhan ini. Mereka fikir mereka lebih pandai. Sistem Tuhan ini dikatakan kolot dan ketinggalan zaman.

Memang manusia ini tidak tahu malu dan tidak sedarkan diri. Menumpang di bumi Tuhan tetapi tidak mahu mengikut sunnah, hukum –hakam, peraturan dan sistem Tuhan. Cuba bayangkan orang-orang yang kita beri tumpang di rumah kita, tiba-tiba dia hendak ambilalih kuasa di rumah kita. Diubahkan susunan kerusi meja kita ikut selera dia. Ditukarkan langsir dan alas meja. Dipindahkannya peti ais ke depan dan TV ke dapur. Di susun semula jadual makan, jadual minum dan jadual sarapan. Dia pula hendak memerintah dan hendak berkuasa dalam rumah kita. Ini tetamu haprak namanya. Elok dihalau sahaja keluar dari rumah kita.

Tambahan pada itu; orang merampas kuasa kerajaan atau kuasa raja, dirampasnya semua kuasa. Bukan sesetengah kuasa sahaja. Tetapi manusia hendak merampas kuasa Tuhan di muka bumi namun tidak pula dia merampas kuasa Tuhan ke atas air, hujan, angin, iklim, cuaca, cahaya matahari, air pasang surut dan sebagainya. Dia merampas benda-benda yang dia rasa dia boleh tangani dan boleh “handle” sahaja. Tahu pula dia banyak benda dalam dunia ini yang dia tak boleh handle. Itupun dia ada hati nak rampas kuasa juga.

Maka manusia mulalah menggunakan segala bentuk kerajaan ciptaan manusia untuk memerintah bumi. Semuanya berbentuk sekular belaka. Dunia untuk dunia. Dunia habis di dunia. Ada kerajaan komunis. Ada kerajaan demokrasi. Ada kerajaan sosialis. Ada kerajaan beraja. Ada kerajaan republik dan sebagainya.

Diciptalah juga berbagai sistem dan ideologi hasil fikiran akal manusia. Sistem ekonomi kapitalis, sistem ekonomi komunis dan sosialis, pendidikan sekular, kebudayaan yang melalaikan, kewangan riba, perundangan ciptaan manusia yang berat sebelah dan lain-lain lagi.

Hasilnya, Tuhan berlepas diri. Apa yang terjadi? Hidup manusia jadi kucar-kacir, huru-hara dan kacau-bilau. Nafsu bermaharajalela. Timbul ketidakadilan, tindas-menindas, tekan-menekan, rebut-merebut dan tikam-menikam. Hilang kasih sayang. Hilang persaudaraan. Hilang perpaduan. Manusia jadi jahat. Jenayah berleluasa. Akhlak manusia rodak. Moral manusia jatuh menyapu bumi. Manusia hidup di dalam ketakutan dan kebimbangan. Sentiasa resah dan gelisah. Hilang ketenangan dan kebahagiaan. Manusia mula menjadi haiwan yang bertopengkan manusia. Inilah tamadun manusia hari ini. Sangat rosak dan merosakkan. Terlalu jauh dengan Tuhan. Dunia sudah jadi neraka. Berlaku kerosakan di lautan dan di daratan hasil usaha tangan manusia-manusia yang telah menolak peraturan, perundangan dan hukum-hakam Tuhan.

Nasib baiklah hujan masih turun. Angin masih bertiup. Masih ada siang dan malam. Matahari masih menyinar dan bumi msih berputar. Kalau semua ini Tuhan serahkan kepada manusia untuk diuruskan, nescaya akan rosak dan musnah bumi ini.

Di kala manusia sedar dan memperbaiki diri, Tuhan akan hantar kepada mereka pemimpin yang baik agar mereka dapat hidup dengan tenang, aman dan damai.

Dan apabiladatang pemimpin yang Tuhan tunjuk iaitu orang Tuhan atau pemimpin yang dijanjikan oleh Tuhan maka kerajaan langit akan membantu kerajaan bumi. Akan turun rahmat dan kasih sayang Tuhan. Kerajaan langit dan kerajaan bumi akan bergabung. Akan wujud kerajaan Tuhan di mukabumi ini. Segala-gala akan berjalan mengikut undang-undang Tuhan.

Manusia akan cinta dan takut dengan Tuhan. Manusia akan berkasih sayang dan bersatu-padu. Manusia akan hidup dengan aman dan makmur dan akan mendapat keampunan Tuhan.

[kembali]