Militan Dan Jalan Penyelesaiannya

PENGENALAN

Istilah militan selalunya tidak digunakan terhadap individu walaupun
individu itu bersikap ganas atau militan. Ia lebih ditujukan kepada
kelompok yang bertindak terhadap musuhnya secara ganas yang boleh
menyebabkan kecederaan, kematian dan kemusnahan harta benda dan yang
menimbulkan kebimbangan dan ketakutan
di kalangan musuhnya.

Takrif militan

Sesuatu kelompok yang dikatakan militan itu ialah yang membawa
sesuatu ajaran, sama ada yang berdasarkan agama atau ideologi, yang
ada pemimpin dan yang dasar perjuangannya ialah untuk mengajak atau
menyuruh pengikut-pengikutnya bertindak terhadap musuh-musuh atau
lawannya bila ada peluang sama ada secara fizikal atau dengan
senjata.

Kalau sesuatu kelompok itu, ajaran dan kepimpinannya tidak mengajak
atau tidak mendorong pengikutnya berlaku kasar pada musuhnya dan
kalau berlaku pun
hanya secara individu yang bukan diarah dan yang bertindak secara
bersendirian tanpa diketahui oleh pemimpin atau kelompoknya, maka
kelompok itu tidak boleh dikatakan militan.

Juga kalau satu-satu kelompok itu menyerang dan menentang musuhnya
tidak secara fizikal atau tidak dengan menggunakan senjata tetapi
hanya dengan membuat komen, kritikan dan teguran melalui kata-kata
yang kesat, maka itu hanya boleh dikatakan kasar, bukan militan.




Militan dan sebab-sebabnya

Sebelum kita memperkatakan tentang militan dan sebab-sebabnya, mari
kita terlebih dahulu memperkatakan tentang manusia dan tabiat-tabiat
semulajadinya. Iaitu sifat-sifat positif dan negatif yang lahir
secara semulajadi daripada manusia itu sendiri.

Manusia sama ada secara individu mahupun secara berkelompok, sama
ada kelompok itu berdasarkan bangsa, etnik, kelompok agama atau
kelompok yang mempunyai satu cita-cita, dapat melahirkan sifat baik
atau jahat atau dapat bersikap negatif atau positif hasil daripada
kepimpinan, pendidikan, pelajaran yang diajar atau keyakinan dan
pegangannya atau hasil daripada pengaruh suasana dan alam sekeliling
sama ada tempat tinggal atau suasana masyarakatnya.

Sedangkan benih-benih semulajadi yang Tuhan jadikan pada manusia itu
seperti sifat-sifat malaikat, haiwan dan syaitan akan hidup subur
dan akan bertindak dalam
kehidupan masyarakat hasil dari kepimpinan, pendidikan, pelajaran,
keyakinan dan pegangan masyarakat itu atau akan disuburkan oleh
suasana dan alam sekeliling.

Manusia yang lahir di kawasan pergunungan tentu berlainan watak dan
sikapnya dari manusia yang duduk di bandar. Begitu juga manusia yang
duduk di kampung,
wataknya tidak akan sama dengan manusia yang duduk di padang pasir
atau di hutan. Ini kerana suasana tempat tinggal boleh membantu
mencorak manusia. Contohnya, secara sepintas lalu, orang yang duduk
di gunung, padang pasir atau hutan mempunyai sifat yang tangkas,
lasak dan berani. Orang yang lahir di kampung berwatak sederhana dan
agak lembut. Yang duduk di bandar pula
tidak tahan diuji dan tidak tahan susah sebab dilahirkan dalam
suasana mewah dan selesa. Bahkan beraninya pun tidak sama. Inilah
perbezaan sifat yang saya maksudkan yang disebabkan oleh pengaruh
suasana dan alam sekeliling.

Walaupun begitu, manusia yang lahir daripada kepimpinan, pendidikan,
pelajaran dan yang mempunyai keyakinan dan pegangan mempunyai sifat-
sifat yang
lebih kuat dan teguh sama ada yang negatif mahupun yang positifnya.
Sifat-sifat ini sukar untuk diubah. Berbeza dengan manusia yang
dibentuk oleh suasana dan
alam sekeliling, sifat-sifat mereka ini tidak teguh dan tidak kuat
mencengkam. Tukar tempat pun sudah berubah.

Begitulah gambaran semulajadi manusia yang melahirkan sifat negatif
atau positif. Perkara baik dan buruk sudah ada. Cuma hasil didikan
dan pengaruh alam
sekeliling akan menyuburkan sifat-sifat sama ada yang baik atau pun
yang buruk itu.

Kalau sesuatu kelompok atau orang yang duduk di padang pasir atau di
gunung-gunung melahirkan sifat kasar dan keras hati, ini berlaku
bukan dengan niat. Dia sendiri pun tidak sedar. Dia tidak berniat
untuk berlaku kasar. Apabila bertemu dengan orang bandar, agak susah
untuk bergaul kerana dia kasar. Ini tidak boleh dikatakan militan.

Kelompok yang duduk di kampung yang dipenuhi dengan pokok-pokok yang
menghijau, berwatak lemah lembut, tenang dan tingkah laku mereka
sederhana. Tentu agak senang sedikit bergaul dengan orang bandar
sebab dia tidak merempuh. Kelompok ini tidak pula boleh dikatakan
baik. Alam sekitar yang membuatnya jadi begitu. Baik yang macam ini
tidak tahan diuji. Bila dicabar, kebaikan ini akan hilang dalam
sekelip mata. Kelompok ini hanya dididik oleh alam sekitar dan bukan
melalui kepimpinan.

Ada setengah kelompok, oleh kerana suasana yang mendidiknya, dia
menjadi lembut. Akan tetapi dia tetap tabah dan tahan uji apabila
dicabar macam orang-orang Asli. Mereka ini tahan lasak, tabah dan
cergas.

Biasanya orang atau kelompok yang jadi militan ialah yang ada cita-
cita, yang ada ideologi, yang ada pimpinan, ajaran, keyakinan dan
pegangan sama ada ianya berdasarkan agama, ideologi atau rasa sakit
hati kepada sesuatu golongan yang lain. Kelompok yang tidak ada
pimpinan, yang hanya dididik oleh suasana dan alam sekitar, biasanya
tidak akan menjadi militan. Mereka hanya akan menjadi kasar dan
keras hati. Kalau berlaku pun, bukan secara jemaah atau kelompok
tetapi secara individu.




Sebab-sebab sesuatu kelompok menjadi militan

Kelompok atau puak yang mempunyai ajaran yang mengajar dia menjadi
militan seperti ajaran komunis. Ajaran itulah yang menjadikan
kelompok itu militan atau komunis.


Ada kalanya satu kelompok itu, ajarannya tidak militan. Tetapi oleh
kerana dia berhadapan dengan musuh yang dia sangat marah, maka dia
jadi militan.
Militan seperti ini tidak sekuat militan hasil dari ajaran.


Ada kelompok yang asalnya tidak militan tetapi terpaksa berhadapan
dengan musuh yang militan. Maka dia pun jadi militan.


Kelompok yang asalnya tidak militan tetapi sengaja musuh hantar
orang-orangnya ke dalam kelompok itu untuk menghasut mereka menjadi
militan supaya boleh dituduh sebagai militan dan ada sebab untuk
ditekan.


Sesuatu kelompok itu akan menjadi lebih militan lagi apabila:
a) Didorong oleh ajarannya
b) Didorong oleh pengaruh alam sekitar
Bila asalnya sudah kasar dan ajarannya pula kasar, maka kelompok
seperti ini akan menjadi lebih kasar dan militan.


Ada kelompok di dalam sesebuah negara yang menentang negaranya
tetapi asalnya tidak militan. Mereka hanya memberi nasihat dan
pandangan pada kerajaan negaranya. Tetapi disebabkan kerajaan itu
berkasar kepada mereka atau ada negara luar yang membekalkan senjata
kepada mereka, maka mereka terus jadi militan.


Sesetengah negara yang kuat, kerana ada kepentingan yang tertentu,
mempengaruhi kelompok atau kumpulan di negara lain untuk menentang
kerajaannya secara militan supaya dia boleh campur tangan.


Biasanya tuduhan militan itu ditujukan kepada kelompok atau puak
yang belum mendapat kuasa. Mereka itu mungkin ada cita-cita untuk
menumbangkan kerajaannya. Sekiranya kerajaan tersebut berlaku kasar
terhadap mereka dengan menggunakan kuasa polis dan tentera, ini
tidak boleh dikatakan militan terutama kalau tujuannya ialah untuk
menjaga keselamatan rakyat dan negara. Tetapi apabila sesuatu
kerajaan itu menggunakan kuasa polis dan tentera lebih daripada
hadnya atau bertindak kerana tidak suka kepada sesuatu puak atau
kelompok walaupun mereka tidak militan, ataupun mereka sengaja
dituduh militan supaya boleh ditindak dan ditekan, ini juga tidak
boleh dikatakan militan tetapi zalim atau
menyalahguna kuasa.

Militan tidak semestinya salah, jahat atau negatif. Kalau sesuatu
puak itu diserang dan dizalimi dan puak tersebut bertindakbalas
secara bersenjata untuk mempertahankan diri dan haknya, itu adalah
tindakan militan yang dibolehkan.



Jalan penyelesaian

Dunia hari ini sibuk memperkatakan tentang militan. Di sesetengah
negara, pemimpin-pemimpin mereka sampai pening-pening kepala
memikirkan tentang militan ini. Lebih-lebih lagi setelah berlakunya
peristiwa 11 September yang lalu, soal militan ini tambah dipandang
serius oleh dunia, tidak kira dunia Islam mahupun dunia bukan Islam.
Hingga Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pun membincangkannya.

Yang sebenarnya, bukan hanya isu militan ini sahaja yang dihadapi
oleh dunia pada waktu ini. Berbagai-bagai isu lain turut mengancam
dunia. Tetapi oleh sebab isu militan ini lebih bahaya dan lebih
menakutkan, itu sebab ia diberi lebih perhatian oleh dunia.

Tambahan pada itu, masalah militan ini membawa satu dimensi baru
yang sangat mencabar para pemimpin dunia. Disamping ianya bahaya dan
menakutkan, ianya juga rumit dan berat untuk diselesaikan. Kerana
para militan ini ialah orang-orang yang berani mati. Orang-orang
yang memang hendak mati. Mereka ini rela membunuh diri. Kalau diri
sendiri pun sanggup dibunuh, membunuh orang lain senang sahaja.

Kalau para militan ini tak berani mati, lebih-lebih lagi kalau
mereka takut mati, tak apa juga. Banyak perkara boleh diusahakan
untuk mencegah kegiatan mereka, untuk menghalang, mengancam dan
menakutkan mereka. Tapi kalau matipun mereka sudah tidak takut, apa
benda lagi dalam dunia ini yang boleh menakutkan
mereka? Bukankah mati itu perkara yang paling dibenci dan ditakuti
oleh manusia. Oleh itu para militan ini tidak makan saman. Tidak
takut diugut. Tidak takut diancam. Tidak takut dihukum. Tidak takut
dibunuh dan tidak makan suap. Dalam ertikata yang lain, mereka ini
tidak mudah hendak dibendung. Bagaimana hendak
menghadapi manusia yang berani mati ini? Inilah perkara yang
merisaukan dan memeningkan kepala para pemimpin dunia.

Dunia hari ini hendak mengugut manusia dengan undang-undang dan
hukuman. Tetapi kalau manusia sudah berani mati, diugut dengan
hukuman apapun tidak ada makna apa-apa. Kalau hukuman pun sudah
tidak memberi apa-apa makna, apa ertinya undang-undang. Bukankah
kekuatan undang-undang itu terletak pada hukumannya.

Nyatalah bahawa hendak membaiki, mengawal dan membendung manusia
termasuk golongan yang militan ini dengan undang-undang dan hukuman
sudah tidak berkesan. Kalau begitu, apakah kaedah yang terbaik untuk
membaiki golongan militan ini? Mesti ada kaedah. Mesti ada ubat.
Mesti ada jalan penyelesaian.



Apakah jalan keluar?

Jalan ahli fikir dan ahli filasuf yang digunakan selama ini sudah
menemui jalan buntu. Ia jelas tidak mampu lagi untuk menangani
masalah ini. Malahan bukan
sahaja ia tidak mampu, bahkan semakin lama ia semakin memburukkan
keadaan dan membuatkan masalah ini bertambah serius dan rumit. Tidak
ada jalan lain,
melainkan kembali kepada jalan dan cara yang telah ditunjukkan oleh
para Rasul.

Manusia perlu diajak mengenali Tuhan. Bukan sekadar percaya sahaja
tetapi mengenali Tuhan. Ramai manusia tidak kira apa bangsa percaya
Tuhan itu ada tetapi mereka tidak merasakan begitu. Mereka tidak
rasa dan tidak perasan bahawa Tuhan itu ada. Mereka tidak merasakan
bahawa Tuhan itu ada peranan dalam hidup mereka. Mereka hanya tahu
dan percaya. Manusia sudah tidak pedulikan Tuhan lagi. Mereka
rasakan Tuhan sudah tidak relevan lagi dalam hidup mereka. Mereka
sudah lupa Tuhan. Mereka sudah kehilangan Tuhan. Hakikatnya, ada
atau tidak Tuhan itu, sama sahaja kesannya pada mereka.

Bila kenal Tuhan barulah jiwa hidup. Barulah hati dapat merasakan
Tuhan itu berkuasa, menghidupkan, mematikan, menghukum, memerhati,
melihat, menjaga,
melindung, memelihara, memberi nikmat, memberi rahmat dan
mendatangkan nikmah (bala). Barulah hati dapat merasakan bahawa
Tuhanlah yang mewujudkan dunia ini. Tidak ada satu habuk pun yang
tidak ada campurtangan Tuhan.

Kuasa Tuhan, bila Dia kata jadi  maka jadilah. Bila Dia kata hidup 
hiduplah. Bila Dia kata mati  matilah. Bila Dia kata sihat 
sihatlah. Bila Dia kata sakit  sakitlah. Itulah dia, Tuhan yang
mencipta langit dan bumi dan juga manusia. Bila rasa-rasa ini
dihayati, manusia akan cinta dan takut kepadaNya.

Itu baru sedikit sifat-sifat yang ada pada Tuhan. Padahal sifat-
sifat kesempurnaan Tuhan itu tidak terhingga banyaknya. Kalau hati-
hati manusia sudah begitu sekali dapat merasakan kehebatan Tuhan,
baru akan datang rasa cinta dan takut. Hendak buat sekecil-kecil
perkara pun, dia akan tanya Tuhan. Inilah ubat pertama dan utama
kepada penyakit-penyakit yang dihadapi oleh manusia. Soal-undang-
undang, peraturan dan hukuman jatuh nombor dua.

Kalau manusia sudah cinta dan takutkan Tuhan, manusia tidak akan
berani lagi melakukan perkara-perkara yang negatif dan menyusahkan.
Kalau ada Tuhan, orang kafir pun akan jadi baik. Setidak-tidaknya di
dunia. Orang yang berani mati yang sudah tidak takut lagi dengan
ancaman dunia pun akan berubah bila berhadapan dengan rasa takut
dengan Tuhan dan ancaman akhirat. Undang-undang dan peraturan bukan
tidak perlu. Itu jalan terakhir. Ia hanya sesuai untuk mengawal
manusia yang sudah rosak fitrah mereka dan sudah terlalu jahat
hingga tidak terkesan lagi dengan Tuhan.

Oleh itu, salah sekalilah konsep mendidik dan membaiki manusia hanya
dengan undang-undang dan peraturan. Undang-undang dan peraturan
manusia sendiri yang buat. Orang yang membuat undang-undang itu pun
banyak buat kesalahan. Yang mempunyai kuasa pun jahat. Mana boleh
orang jahat mendidik orang lain jadi baik. Mana boleh orang yang
sesat jalan menunjukkan jalan yang betul
pada orang lain.

Kalau rujuk dengan Tuhan, Tuhan akan bersama kita. Rakyat dan orang-
orang besar, Tuhan yang jadikan. Kalau rakyat takut, orang-orang
besar juga akan takut.
Akhirnya orang kecil dan orang besar sama-sama takutkan Tuhan.
Inilah jalan keselamatan, kedamaian dan keharmonian buat manusia.

Kalau begitu, dunia hari ini perlu mempromosikan Tuhan. Supaya
manusia cinta dan takut padaNya. Inilah formula yang paling berkesan
yang boleh menyelesaikan
segala masalah manusia dan masyarakat.



Siapakah yang akan mempromosikan Tuhan?

Tentulah orang Tuhan. Tentulah orang yang kenal Tuhan, yang ada rasa
bertuhan dan yang cinta dan takut dengan Tuhan. Kerana manusia ini ,
sama ada baik atau jahat adalah hasil dari didikan, ilmu dan
pimpinan. Manusia tidak akan dapat menghayati sesuatu perkara
kecuali melalui pendidikan. Memperbaiki manusia mesti melalui
pendidikan.



Siapakah yang akan mendidik?

Memang sudah menjadi fitrah semulajadi manusia, kalau orang yang
mendidik tidak ada wibawa, pendidikannya tidak akan efektif dan
tidak akan memberi kesan. Orang akan ambil ilmunya tetapi ilmu itu
tidak akan dihayati. Orang boleh belajar darinya tapi dia tidak
dihormati. Dia tidak dicontohi. Mendidik orang mesti ada wibawa.
Pemimpin yang hendak mengajak manusia supaya cinta dan takut dengan
Tuhan mesti terlebih dahulu cinta dan takut dengan Tuhan. Dia mesti
mempunyai wibawa yang tinggi. Barulah ilmu yang diajarnya boleh
dihayati.

Orang yang hendak memimpin manusia mesti ada wibawa. Dalam ertikata
yang lain, dia mesti ada akhlak. Dia mesti bersifat adil, berkasih
sayang, pemurah, mengutamakan orang lain, tidak mementingkan diri,
tidak memikirkan kroni dan tidak zalim. Kalau ciri-ciri ini tidak
ada, dia tidak ada wibawa. Pimpinannya tidak berkesan. Cakapnya
tidak didengar orang. Dia tidak dihormati. Orang dengar tapi tak
ikut. Pemimpin yang tidak ada wibawa, ajarannya, walaupun baik tidak
memberi kesan apa-apa. Kalau mereka memimpin golongan yang militan,
lagi-lagilah golongan ini akan dengki, benci dan sakit hati pada
mereka. Mereka akan ditolak. Kalau golongan militan sudah rasa
begitu, siapa lagi yang akan mendidik dan memperbaiki mereka?

Dalam dunia ini para pemimpin jangan fikir hendak memperbaiki rakyat
sahaja. Jangan fikir masalah militan sahaja. Mereka mesti perbaiki
diri. Kadang-kadang sedar atau tidak, pemimpin yang jahatlah yang
menyumbang kepada manusia menjadi jahat. Sebab itu kalau rakyat
sudah jadi jahat, para pemimpin mesti muhasabah diri masing-masing.
Rakyat itu adalah bayangan pemimpin.

Kalau pemimpin sudah jahat, macam mana hendak didik rakyat. Mana
mungkin orang jahat boleh mendidik orang lain jadi baik. Tambahan
lagi, siapa pula nanti yang akan mendidik para pemimpin yang jahat
ini.

Dunia, tidak kira apa bangsa, mesti berdoa banyak-banyak kepada
Tuhan, supaya Tuhan tunjukkan kita pemimpin yang ada rasa bertuhan,
yang cinta dan takut dengan Tuhan, yang ada wibawa, yang orang ramai
hormati, bahkan yang para pemimpin pun hormati. Pemimpin seperti
inilah sebenarnya yang layak memimpin
rakyat dan para pemimpin. Ketika itu barulah masalah dunia akan
selesai.

Seperti apa yang berlaku kepada kaum Yahudi di zaman Nabi Allah
Samuel. Mereka ditekan dan dizalimi oleh penguasa Rom. Di kala itu
mereka tidak mempunyai seorang pemimpin yang layak dan cukup
berwibawa untuk memimpin dan menyelamatkan mereka. Maka pembesar-
pembesar kaum Yahudi tersebut bersepakat berjumpa Nabi Samuel dan
meminta beliau mendoakan supaya Tuhan menunjukkan seorang pemimpin
di kalangan mereka. Nabi Samuel pun mendoakan.

Tuhan melantik Tholut. Tholut bukan seorang bangsawan. Dia bukan
seorang pembesar. Dia bukan seorang pendita atau seorang yang
terpelajar. Dia juga tidak kaya. Dia hanya seorang petani yang
bertani di hujung kampung yang terpencil dan tidak dikenali orang.
Dialah pilihan Tuhan. Ini mengejut dan mengecewakan golongan
bangsawan dan pembesar kaum Yahudi tersebut. Mereka sangka Tuhan
akan pilih seorang pemimpin di kalangan mereka. Tetapi bagi Tuhan,
kriteria seorang pemimpin bukan darjat, bukan status, bukan
kekayaan, bukan semata-mata ilmu, bukan pengaruh dan bukan
kedudukan. Tholut dipilih kerana dia seorang yang bertaqwa, yang
kenal Tuhan dan yang cinta dan takut dengan Tuhan. Dia berwibawa dan
berakhlak tinggi. Dia mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat kepimpinan
yang tidak ada di kalangan para pembesar dan para bangsawan kaum
Yahudi berkenaan.


Sekian.


[KEMBALI]