Masyarakat Zaman Sekarang

Masyarakat Islam di zaman masih baik,
masing-masing sangat menjaga diri dan memikir diri
Selalu menyuluh diri sendiri,
tidak minat menyuluh diri orang lain

Kecuali secara kebetulan terlihat kejahatan orang lain
Zaman itu setiap orang memikirkan dosa
apa yang sudah terbuat untuk bertaubat
Kebaikan apa lagi hendak dibuat

Mereka kebaikan itu memang sengaja dicari-cari untuk dibuat
Mereka kalau terlihat orang Islam yang lain membuat jahat
mereka sembunyikan tidak dihebohkan
Kecuali mereka membuat kejahatan terang-terangan
dan membahayakan umum
barulah dicanang untuk menyelamatkan umumul Muslimin

Zaman sekarang ini
memang umat Islam sangat suka mendedahkan kejahatan orang lain
bahkan memang dicari untuk didedahkan dengan bangga pula
Sekalipun kejahatan itu tersembunyi dan terlalu peribadi
Zaman sekarang media-massa pula sudah ada,
maka berita lagilah mudah tersebar diketahui orang

Orang yang suka mendedahkan pekung orang Islam,
biasanya dia juga ada barah dan pekung, tidak kurang
Mereka itu juga orang yang banyak pekung dan kudis di badan
Bukan pula ertinya orang yang suka mendedahkan kejahatan orang
mereka tidak jahat, adakalanya dia lebih jahat dari orang yang
didedahkan

Memang orang yang jahat wataknya suka mendedahkan kejahatan orang
Akhirnya di zaman ini berlakulah dedah-mendedahkan
Samada secara cakap-cakap
mahupun diberitakan di suratkhabar dan di media-massa
Lebih-lebih lagi pula orang yang buat jahat itu ada nama pula
Orang ternama lagilah hendak sangat orang buat berita

Jadi satu keseronokan pula rahsia terbuka
Jadilah sekarang ini masyarakat Islam sudah jadi satu trend dedah-
mendedahkan,
londeh-melondehkan, telanjang-menelanjangkan
Akibatnya nama baik umat Islam seluruhnya tercemar dan memalukan
Ertinya muka kita semua termasuk yang memberi malu,
malu sama, tercemar sama

Begitulah masyarakat Islam yang sudah rosak akibat iman sudah lemah,
tidak takut lagi dengan Tuhan
Perkara yang boleh memalukan kita sama pun boleh dilakukan
Lebih-lebih lagi kerana cari makan macam penulis-penulis upahan

Jika boleh dapat makan,
Islam dan umat Islam tercemar pun apa dia pedulikan
Yang penting boleh cari makan,
lebih-lebih lagi kalau boleh senang
Pada saya penulis memalukan orang Islam kerana upahan adalah rasuah
yang sangat dilarang Tuhan
Itulah di antara penyakit masyarakat umat Islam sekarang.


Nukilan : Pengerusi Rufaqa - Ust Hj Ashaari Muhammad
Tarikh  : 25.11.2004

[KEMBALI]