Sikap Ulamak Terhadap Islam Hadhari

Ada ulamak yang tiba-tiba sahaja tidak bersetuju dengan Islam
Hadhari. Entah kenapa, seperti ada yang tidak kena dengan Islam
Hadhari. Tidak tahu pula samada yang tak kena itu Islam Hadhari atau
yang tak kena itu adalah kerana yang bercakap itu bukan dari
golongan mereka. Ulamak seperti ini boleh diibaratkan seperti kisah
dalam sebuah kampung, antara imam dan ketua kampung.

Tersebutlah kisah, ketua kampung nak buat kenduri meraikan orang-
orang kampung dan tetamu jemputan kampung sebelah. Maka dibuatlah
satu mesyuarat. Ramai juga yang datang mesyuarat. Ada Tok Imam, ada
bilal, ada tok sidang, ada ketua wanita, ada ketua pemuda, ada tok
mudim, juga tak ketinggalan orang-orang lama yang sudah puluh tahun
menetap di kampung tersebut. Jadi dalam mesyuarat itu, keluarlah
dari mulut ketua kampung nak buat kenduri besar-besaran di kampung
itu. Ia akan di buat pada malam Jumaat di tanah lapang bersebelahan
surau. Jadi dipendekkan cerita, umumnya, semua setujulah nak buat
kenduri itu kecuali Tok Imam. Tok Imam memang bercadang nak buat
kenduri itu atas nama surau, tapi Ketua kampung sudah mendahului.
Tok Imam cari jalan nak gagalkan program tu tapi tak berhasil.
Sampailah hari yang ditunggu-tunggu, paginya tu orang kampung semua
dah sibuk.  Ada yang bawa beras. Ada yang bawa gula. Ada yang bawa
susu. Ada yang potong kambing. Ada yang kupas bawang. Ada yang
bersihkan padang. Ada yang pasang khemah. Tapi Tok Imam tak buat
apa, duduk surau seorang dia. Tok  imam tarik diri. Sudahlah satu
barang tak beri, nak menolong pun tak hendak.

Samalah ceritanya dalam sebuah negara hari ini. Bila Pemimpin atasan
menyebut Islam Hadhari, ada ulamak yang tidak bereaksi. Ada ulamak
yang bersikap acuh tidak acuh. Ada juga ulamak yang menentang.
Sedangkan ulamak inilah yang dahulu menyebut bahawa umarak
(pemimpin) memerlukan ulamak. Negara akan pincang jika pemimpin
mengenepikan ulamak. Sebenarnya, tugas ulamak adalah untuk
menasihati. Apa yang tidak betul, dibetulkan. Apa yang kurang,
ditampung. Tugas ulamak juga membantu pemimpin dalam kerja-kerja
harian pemimpin. Ulamak seharusnya bekerjasama dengan pemimpin dalam
nak membangunkan Islam. Kini, pemimpin atasan mahukan Islam hadhari
pada sebuah negara. Ulamak, ada yang berdiam diri dan ada juga yang
memperlecehkan idea pemimpin itu. Sedangkan pemimpin sudah mahukan
pada Islam, sudah mahu negara dilaksanakan mengikut konsep Islam
hadhari. Patutnya ulamak datang membantu. Tak kira apa sahaja yang
boleh dibantu, patutnya ulamak ke depan mendokong hasrat murni
pemimpin ini. Kalau perlu beri idea, berilah idea. Yang boleh
menulis, buatlah buku tentangnya. Buatlah modul-modul untuk
laksanakan Islam hadhari di pejabat kerajaan. Berbincanglah dengan
orang-orang penting kerajaan, bagaimana ia boleh dilaksanakan.
Bantulah buat road show menerangkan Islam hadhari. Berilah sumbangan
tenaga juga harta mengikut yang termampu. Merekalah orang yang
diharap-harapkan untuk usaha ini.

Tetapi ini tidak terjadi pada sebahagian ulamak. Mungkin mereka mahu
Islam itu terbangun di tangan mereka sahaja. Seolah-olah kepada
pemimpin itu, mereka berkata, "Serahlah padaku jawatan pemimpin itu
lebih baik. Aku lebih tahu daripada kau. Kau tidak tahu apa, rosak
nanti. Bila aku memimpin, lepas itu aku yang buat, kan baik.
Sesuailah, aku ada ilmu. Aku ulamak." Patutnya, yang memimpin,
biarlah memimpin. Ulamak buatlah kerja ulamak. Jangan buat kerja
pemimpin, kecualilah orang lantik ulamak jadi pemimpin. Itu tidak
mengapalah. Ulamak seperti ini ada kepentingan. Mereka bukan ulamak
yang sebenar.  Berhati-hatilah dengan ulamak  seperti ini. 



[KEMBALI]