Syahadah Rasulullah

 

PETIKAN: Rasulullah tidak dikatakan abqari. Dia amat tersendiri. Sebab itu ada istilah baqanah. Istilah baqanah hanya boleh disandarkan pada Rasulullah. Kecerdikan Rasulullah itu tiada bandingan. Abqari pun kalah. Walaupun seribu ahli falsafah yang bertaraf abqari, mereka tidak boleh
lawan satu fathonah. Sebab itu, ia dijadikan keyakinan akidah. Adalah menjadi akidah bahawa "Saya bersaksi Rasulullah itu adalah fathonah."

--------------------------------------------------------------------------

Bismillahi rahmanir rahim

Anak-anakku yang dikasihi sekalian

Alhamdulillah. Mari kita sambung kuliah tentang Kalimah Syahadah ini. Hari ini kita hendak perkatakan tentang syahadat Rasulullah. "Asyhadu allailahaillallah wa asyahaduanna muhammadurrasulullah" - Saya naik saksi bahawa tiada jenis Tuhan yang disembah melainkan Allah. Saya naik saksi Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

Dalam ajaran Islam, Rasulullah juga termasuk sebahagian akidah. Sebab itu disetkan dalam syahadah itu, nama Allah dengan Rasulullah. Tidak sah akidah jika menyebut salah satu sahaja. Jika kita bersyahadah dan menyebut Rasulullah tanpa Allah atau menyebut Allah tanpa Rasulullah, itu tidak dikira sah.

     Kebesaran Tuhan itu tiada tandingannya. Tiada satu makhluk pun yang boleh menandingi-Nya. Tetapi atas nisbah makhluk, kehebatan Rasulullah itu besar. Allah SWT sendiri membesarkan baginda supaya hamba-hamba Allah juga membesarkan baginda. Hinggakan nama Allah  dan Rasulullah disetkan sekali dalam syahadah. Akhirnya kedua-keduanya menjadi akidah, menjadi pegangan dan keyakinan.
    Apa maksudnya Nabi Muhammad SAW itu pesuruh Allah? Artinya kita wajib yakin bahawa baginda itu pesuruh Allah. Pesuruh yang Tuhan telah lantik kepada seluruh alam. Jin dan manusia diperintahkan mengikut apa yang diarahkan oleh Allah,  yakni mengaku Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Itu akidah asas.

Termasuk dalam meyakini yang tersirat iaitu apa sahaja yang ada hubungan dengan Rasulullah atau yang wajib berlaku pada Rasulullah. Wajib kita yakin. Pegangan dan akidah kita adalah termasuk dalam pengakuan syahadah itu.

Kita sudah mengakui Allah itu Tuhan kita. Zat itu adalah zat Pencipta alam. Dengan sendiri, sifat-sifatNya berkait dengan Tuhan, kitawajib yakin dan percaya.
    Artinya kalau kita yakin seseorang itu utusan Allah, maka kita bersaksi, percaya dan yakin kepada apa sahaja sifat-sifat yang wajib pada Rasul itu.

 Ada 4 sifat wajib yang ada pada Rasul yang wajib diketahui, yakin dan percaya iaitu:

1.Dalam syahadah Rasulullah, yakinkan bahawa " Aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu siddiq." Apa maksud Rasulullah itu siddiq?
    Siddiq berarti Benar, yakni kata-katanya benar, perbuatannya benar, sikapnya benar, menggambarkan segala yang Allah perintahkan kepadanya.

~Rasulullah itu, cakapnya tidak mendahului perbuatan.

~Tidak membohongi.

~Perbuatannya tidak membohongi perkataan.

~Perbuatan dan kata-katanya itu sama.

Itulah keyakinan kita. Kita naik saksi bahawa Nabi Muhammad SAW itu siddiq. Kita membenarkan perkataan, perbuatan dan sikapnya. Apa yang berlaku pada Rasulullah itulah yang Tuhan kehendaki.

2.Begitu juga kita naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu amanah. Apa maksud amanah?
Apa sahaja yang Allah pesankan untuk disampaikan, walau satu perkataan pun tidak tercicir. Bukan sahaja satu ayat, malah satu perkataan pun tidak tercicir/tercecer. Satu lafaz pun tidak tertinggal. Bahkan satu huruf pun tidak tercecer. Artinya amanah sungguh Rasulullah itu. Allah swt telah menyampaikan Al Quran. Betapa banyak ayatnya dan perkataannya, namun satu huruf pun tidak tercicir. Begitu amat amanahnya Rasulullah dengan Tuhan.

Jadi, bila kita mengucap "asyhadu anna Muhammadurrasulullah",

didalamnya itu, rupanya terkandung yang dimaksudkan bahawa Rasulullah itu bersifat amanah.

Saya bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu amanah.

Sangat jujur menyampaikan hingga tidak ada yang terceicer dan tidak bertambah walau satu huruf.

Tidak menambah-nambah.
Maka kita bersaksi bahawa sifat amanah Rasulullah itu adalah satu keyakinan. Sesiapa yang tidak belajar tentang sifat amanah dan siddiq ini boleh berdosa. Akidah boleh menjadi cacat. Sebab itu wajib kita tahu, percaya dan yakin. Sebab ia termasuk sifat yang wajib bagi Rasul.

3. "Asyhadu anna Muhammadurrasulullah" itu juga kita maksudkan bahawa kita besaksi bahawa Rasulullah itu menyampaikan. Bukan sahaja kita wajib yakin rasul itu Rasul. Kita juga wajib yakin bahawa dia sangat menyampaikan. Sedikit pun tidak syak. Menyampaikan  hinggakan satu huruf pun tidak tercicir. Menyampaikan kepada semua.

4.Bila kita mengucap dua kalimah syahadah itu, kalimah Rasulullah yang kita maksudkan lagi ilah "Saya bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu ada lah cerdik/fathonah".
Cerdiknya Rasulullah itu pun menjadi akidah. Sesiapa beriktikad Rasulullah bodoh, rosaklah akidahnya. Katalah seseorang itu yakin pada Rasulullah, yakni yakin baginda yang membawa Al Quran untuk mengislamkan  manusia dengan Al Quran, yakin baginda bersifat siddiq, amanah, dan tabligh tetapi yang satu ini dia tidak yakin. Maka rusaklah akidahnya.

 

Sifat cerdik itu adalah sebahagian dari satu pakej sifat2 Rasul yang 4. Itulah yang dikatakan Syahadat Rasulullah.

Syahadat Rasulullah menjadi akidah bersama-sama Syahadat Tauhid.

 

Cerdik Rasulullah bukan lagi cerdik istilah manusia.

Istilah genius itu adalah istilah yang tersendiri. Pada manusia umum, istilah cerdik itu biasa.

Tetapi hendak mencari yang zakiyun itu juga payah. Genius pula istilah cerdik luar biasa pada orang awam [dipinjam dari bahasa Inggris].

Dalam istilah bahasa arab genius disebut abqari iaitu ahli-ahli falsafah, ahli pemikir, atau ahli otak.

     Rasulullah tidak dikatakan abqari. Dia amat tersendiri. Sebab itu ada istilah baqanah. Istilah baqanah hanya boleh disandarkan pada Rasulullah. Kecerdikan Rasulullah itu tiada bandingan. Abqari pun kalah. Walaupun seribu ahli falsafah yang bertaraf abqari, mereka tidak boleh
lawan satu fathonah. Sebab itu, ia dijadikan keyakinan akidah. Adalah menjadi akidah bahawa "Saya bersaksi Rasulullah itu adalah fathonah."

         Jika ada kita bertanya seseorang  tentang Rasulullah, dia menjawab "Eh!  tak pernah dengar pun tentang sifat  fathonah pada Rasulullah?". Rusak akidah dia!

      Lebih lagi boleh rusak,kalau dia telah belajar tetapi dia tidak yakin. Lagi rusak kalau dia tidak belajar dan dia tidak tahu bahawa akidahnya sudah rusak!

   Sebab itu wajib tahu dan wajib belajar! Serta wajib dijadikan keyakinan. Kalau sudah tahu tetapi menolak juga, lagilah berat. Sebab kalau sudah rusak akidah, walaupun akidah tentang syahadat Rasulullah sahaja, solat, zakat, puasa, haji menjadi batal.

Maka semasa kita mengucap dua kalimah syahadat itu, bukan sahaja kita wajib mengakui bahawa Nabi Muhammad itu Rasul tetapi 4 sifat yang wajib baginya pun kita kena yakin dan kita saksikan.

    Saya rasa, tentang keyakinan pada sifat yang 4, inipun ramai orang telah mengabaikannya. Sifat Fathonah itu pun orang ambil tidak peduli. Ramai yang yakin Nabi Muhammad itu pesuruh Allah tetapi sifat-sifat baginda tidak pernah diambil tahu.

   Seperti orang yakin bahawa Allah itu Tuhan tetapi tidak tahu yang Dia Maha berkuasa, berkehendak, mendengar dsb.

    Di dalam Islam ini, akidah yang asas sahaja tidak cukup. iaitu sekadar hendak membezakan antara Islam dan kafir. Menjadi orang baik itu sahaja tidak cukup. Allah minta kita bukan setakat menjadi muslim atau orang Islam. Tidak pernah dikatakan orang Islam begini-begini masuk syurga. Tidak ada. Syaratnya mestilah menjadi orang bertaqwa. Lagi selamat. Dengan Islam sahaja tidak tentu selamat. Mukmin sahaja pun tidak pasti selamat dari neraka. Mesti mukmin yang bertaqwa. Jadi, jika  hendak menjadi orang yang bertaqwa, ada satu pakej. Gabungan rukun iman, rukun Islam dan ihsan, ianya adalah  satu pakej. Kena ada ilmunya, difahami, dihay ati lalu diapply dalam kehidupan, barulah boleh jadi orang bertaqwa.

    Kerana ada rukun kepada rukun Iman, ada rukun kepada rukun Islam dan dalam rukun Ihsan, ada rukunnya. Kesemuanya itu satu pakej, barulah boleh menjadi orang bertaqwa. Sebab itu di dalam ajaran Islam ada 3, Iman, Islam dan Ihsan. Iman dan Islam sahaja tidak cukup. Mesti ada ihsan. Kalau sampai peringkat Ihsan , baruboleh menjadi orang bertaqwa. Bila sudah menjadi orang  bertaqwa, baru ada jaminan selamat dunia akhirat. Di dunia ada jaminan tenang, bantuan dari Tuhan dan diakhirat selamat dari neraka serta terus akan pergi ke syurga.
  Jadi jangan belajar Islam yang asas sahaja sedangkan kita tidak sedar kita sudah jatuh kafir. Sebab itu Tuhan bukan hendak kita setakat menjadi Islam atau mukmin tetapi muttaqin.

 

PETIKAN:

Apakah maksud wasilah?  Wasilah ada dua =>  yang lahir dan  yang batin. Wasilah lahir adalah ilmunya. Jikalau bukan baginda sebagai wasilah, kita tidak mendapat ilmu yang diwahyukan kepadanya sebagai utusan Allah
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Bismillahirrahmanirrahiim
Akidah kepada Rasulullah ini hendaklah  diperluaskan lagi. Tidak cukup dengan hanya yang asas.

1. Di antaranya,'' Saya naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu maksum.''
Maksud  maksum adalah baginda tidak berbuat salah dan tidak berbuat dosa, sekalipun dosa kecil.

Walaupun sifat ini tidak wajib dipelajari dan tidak menjadi asas akidah  tetapi eloklah kita tahu supaya kita terasa kebesaran dan kehebatan Rasulullah SAW agar kita dapat menghayatinya.

Untuk menjadi orang bertaqwa, kita harus mencintai Rasulullah SAW dengan sebenar2 cinta.

''Aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu maksum.'' Jarang orang memperkatakan sifat maksum ini sebab ia bukanlah akidah yang asas.

Rasulullah itu sejak dari kecilnya telah terpelihara. Dosa kecil pun baginda tidak buat. Bukankah luar biasa! Bila kita melihat peribadinya, kita menjadi sangat menyayanginya dan ingin
mengikut jejak langkah seseorang  yang sangat disayangi Tuhan.

 2. Kita harus menyaksikan bahawa Rasulullah itu adalah ummi.
 
Apakah maksud ummi? Maksud Ummi ialah, baginda tidak membaca dan menulis. Jangan berkata Rasulullah itu tidak pandai membaca dan menulis...jangan berkata begitu.

Untuk mendapatkan ilmu, Rasulullah tidak perlu membaca dan menulis seperti kita.
 
   Lebih bahaya lagi bila kita kata dia tidak boleh membaca dan menulis. Itu namanya menghina. Jika kita kata Rasulullah membaca dan menulis, tidaklah hebat juga bunyinya dibandingkan dengan jika kita kata baginda tidak membaca dan menulis.

Kalaulah kita tidak membaca dan tidak menulis [ummi], akan berilmukah kita? Rasulullah tidak membaca dan tidak menulis tetapi baginda sarat dan penuh dengan ilmu. Sungguh luar biasa!
 
Jadi terasalah kehebatan dan kebesaran Rasulullah itu. Keyakinan Ini penting untuk mencapai sifat taqwa. Jadi  katakanlah '' Aku naik saksi bahawa Rasulullah itu tidak membaca dan tidak menulis''. 

3. '' Saya naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu contoh ikutan.'' Mesti yakinkan itu. Bila dikatakan contoh, kita akan nampak baginda itu di hadapan dan di belakang kita. Roh kita akan menjadi yakin akan kebesarannya lantas mudah kita mencapai sifat  taqwa,
 
 
4. ''Saya naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu adalah wasilah.''

Rasulullah SAW  itu adalah  wasilah tetapi kita sebagai umatnya  jarang mengambil peduli dan tidak endah. Padahal perihal  wasilah baginda itu adalah satu  perkara  yang besar. Apakah buktinya ?.

=>Setiap hari kita membacanya di dalam doa selepas azan.Walaupun hukumnya sunat, maksudnya adalah besar.

Apakah maksud wasilah?  Wasilah ada dua =>  yang lahir dan  yang batin. Wasilah lahir adalah ilmunya. Jikalau bukan baginda sebagai wasilah, kita tidak mendapat ilmu yang diwahyukan kepadanya sebagai utusan Allah.

Katalah kita tidak mahu belajar ilmu-ilmu  yang disampaikan oleh Rasulullah  SAW melalui Al Quran dan Hadis => maka boleh rusaklah wasilah lahir kita.
 
Wasilah lahir Rasulullah ialah perbuatannya, sikapnya, tingkah laku dan sebagainya, walaupun Rasulullah sudah tiada lagi. Dengan izin Allah, baginda diyakini orang walaupun sudah lebih 1400 tahun baginda meninggalkan kita.

     Ada lagi satu wasilah yang telah dilupakan  orang iaitu wasilah roh muqodassah.Roh yang sangat suci.Walaupun baginda sudah wafat, dengan izin Tuhan, baginda boleh membantu umatnya.
 
Sama ada dalam menolong agamaNya, untuk mendapat kekuatan lahir dan batin, baginda boleh dijadikan wasilah. Ilmu ini sudah berratus tahun tidak dipedulikan orang. Sebab itu umat Islam dihina dan terhina. Bahkan bagi golongan fahaman wahabi, wasilah itu dianggap syirik.

Sebab itu orang-orang yang rohnya bersih, mereka  boleh berjumpa Rasulullah dalam keadaan jaga =>bukan dalam mimpi. Jika di  dalam mimpi, itu perkara biasa. Mereka boleh berbual2 dalam keadaan jaga. Bukankah hebatnya Rasulullah!

Kita boleh berdoa dengan menyeru namanya, meminta bantuannya.
 
'' Wahai Rasulullah, tenangkan hati saya. Berilah  saya ilmu dan lain-lain. Bantulah  saya menjadi orang bertaqwa.''

Ini sudah tidak dipelajari sejak beratus tahun. Sebab itu umat Islam terhina dimana-mana.
 
Jadi bila kita mengucap dua kalimah syahadah, menurut kita yang berfahaman Ahli sunnah wal jamaah, maka kita bersaksilah bahawa baginda adalah wasilah.
 
5. Kita naik saksi lagi bahawa Nabi Muhammad itu kalau bukan karenanya, dunia dan akhirat tidak diciptakan.

Bukankah betapa  besarnya Rasulullah? Sebab itu baginda dikatakan sohibuz azman =>Orang yang mempunyai /menguasai semua zaman.
 
Sebab itu perlu wasilah baginda , kerana baginda itu Tuhan yang menjadikan.
 
Sebagaimana Allah menyebut di dalam Al Quran,''Tidak Kami jadikan engkau Muhammad, melainkan rahmat bagi seluruh alam.''
 
Artinya kalau bukan kerana Rasulullah, dunia akhirat dan kita ini pun tidak ada.

''Ya Allah, saya minta di atas nama Nabi Muhammad kerana wasilah.'' Turunlah rahmat.

Kerana Rasulullah, Allah berikan apa yang diminta. Inilah ilmu yang sudah dilupakan orang. Bahkan disyirikkan orang. Banyak perkara-perkara seni sudah terhapus. Kerana itu untuk berkasih sayang sudah susah! Seni-seni sudah tidak ada. Jiwa sudah menjadi kasar.
Itulah dia akidah tambahan untuk menjadi orang bertaqwa. Jika yang asas sahaja, tidak cukup.
Sebab itu jika kita membaca riwayat,  sahabat-sahabat di zaman Rasulullah, janggut Rasulullah pun dipandang besar. Sayidina Khalid membawa janggut Rasulullah ke medan perang. Bila serbannya jatuh sewaktu berperang, dia cepat-cepat mengambilnya kerana ada janggut Rasulullah di dalamnya.

Akhirnya orang bertanya,''Wahai Khalid, sewaktu berperang, serban jatuh pun engkau ambil?''

=>''Sebab ada janggut Rasulullah yang saya bawa perang. Dengan berkah janggut itulah saya diizinkan Allah menang.''

Dengan janggut baginda, orang boleh bertawassul,mengambil berkat, betapalah dengan roh, jasad, akal dan dengan akhlaknya. Tetapi ilmu ini sudah terlalu dilupakan.

Syahadah Rasulullah itu besar dan luas. Ada yang asas dan ada yang tambahan. Bila digabungkan barulah boleh membantu kita untuk menjadi orang yang bertaqwa.

Saya rasa cukuplah setakat itu. Yang baik datangnya dari Tuhan. Terima kasih Tuhan kerana telah memberikan sesuatu yang benar.
 
Kuliah: Ustaz Ashaari Muhammad
Sumber : Rufaqa UK

ASOIB@yahoogroups.com

[kembali]