Umar Al-Khattab pencipta takwim Hijrah

 

Oleh KASSIM BAHALI

Dalam usaha menyambut 1 Muharam yang sering dikaitkan dengan peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. timbul kekeliruan di kalangan sebahagian masyarakat. Kekeliruan di antara tarikh sebenar hijrah Rasulullah dari Mekah ke Madinah dengan Maal Hijrah.

Ada pihak yang beranggapan Rasulullah s.a.w. berhijrah pada tarikh 1 Muharam, justeru diadakan sambutan bagi mengingati dan merayakan tarikh peristiwa itu berlaku.

Ada yang beranggapan takwim tahun Hijrah telah mula digunakan sejak dari detik peristiwa hijrah tersebut.

Ada yang beranggapan tarikh sebenar Rasulullah s.a.w. berhijrah telah dipinda dan dijadikan sebagai 1 Muharam.

Dalam buku-buku sejarah menyebut Rasulullah berangkat hijrah meninggalkan Mekah setelah mendapat wahyu yang mengizinkan baginda berbuat demikian. Setelah beberapa hari berjalan akhirnya baginda sampai di Quba, satu tempat yang terletak beberapa kilometer dari Madinah.

Menurut ahli falak Sheikh Tahir Jalaluddin, Rasulullah s.a.w. telah sampai di Quba pada hari Isnin 9 Rabiulawal bersamaan 20 September 622M.

Selepas empat hari berada di Quba baginda meneruskan perjalanan dan telah memasuki Madinah pada Jumaat 13 Rabiulawal bersamaan 24 September 622M.

Sebenarnya takwim Hijrah bermula atas cadangan Sayidina Umar Al-Khattab. Semasa beliau menjadi khalifah yang kedua, seorang gabenor, Abu Musa menerima surat dari beliau yang hanya menyatakan tarikh bulan Syaaban tanpa menyatakan tahun. Abu Musa menulis surat bertanya kepada beliau bulan Syaaban yang mana satu, tahun ini atau tahun hadapan? Bermula dari keadaan itu Sayidina Umar mencadangkan agar diwujudkan unit tahun dalam takwim selain haribulan dan bulan.

Sebelum kedatangan Islam dan semasa hayat Rasulullah s.a.w. takwim yang digunakan ialah sistem takwim Qamari yang merujuk unit tahun kepada peristiwa besar seperti Tahun Gajah merujuk kepada tahun peristiwa tentera bergajah menyerang Kaabah. Sayidina Umar telah menerima cadangan yang menjadikan tahun Rasulullah s.a.w. berhijrah sebagai tahun pertama takwim Hijrah. Bulan Muharam adalah bulan pertama dalam sistem takwim Hijrah dan apabila dikebelakangkan dari tarikh sebenar baginda sampai di Madinah maka 1 Muharam sebagai hari pertama tahun Hijrah yang jatuh pada Jumaat 16 Julai 622M.

Ini bermakna takwim tahun Hijrah ketika mula digunakan semasa pemerintahan Sayidina Umar sudah menjadi tahun Hijrah yang ke-17. Dan takwim ini juga bukan mula digunakan semasa hayat Rasulullah tetapi selepas 17 tahun berlalunya peristiwa hijrah, barulah takwim Hijrah yang kita amalkan hari ini dipraktikkan.

Kesimpulannya tarikh hijrah Rasulullah bukanlah pada 1 Muharam tetapi 1 Muharam adalah hari pertama dalam takwim Hijrah dan tarikh hijrah Rasulullah s.a.w. tidak dijadikan sebagai hari pertama takwim Hijrah. Takwim Hijrah mula dipraktikkan selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. oleh Sayidina Umar Al-Khattab iaitu pada tahun ke-17 Hijrah.

Sumber:ASOIB@yahoogroup.com

[kembali]